fb fb fb fb fb

Akta Tatakelola Sektor Awam & Pelan Integriti, pertingkat tadbir urus Kerajaan Madani

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan, Noor Amelia Zainabila Zaiffri

PUTRAJAYA, 25 November- Akta Tatakelola Sektor Awam dan Pelan Integriti yang akan diperkenalkan, diharap dapat menutup segala kepincangan dan kelompongan dalam akta sedia ada.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan, Noor Amelia Zainabila Zaiffri berkata ia dapat meningkatkan keberkesanan undang-undang dalam memberikan tindakan punitif terhadap individu yang melakukan pembaziran dana awam.

"Saya berharap supaya sekiranya diperkenalkan, lebih banyak pihak akan dilibatkan bersama termasuk pemegang taruh supaya mereka boleh memberi pandangan agar tidak ada pertindihan antara satu akta dengan akta yang lain," kata Amelia kepada pemberita selepas Sesi Perbahasan Kongres AMK 2023, di sini.

Jelasnya, penguatkuasaan tegas dalam usaha memerangi rasuah lebih penting berbanding lambakan akta berkaitan.

Agensi sedia ada seperti Institut Integriti Malaysia (IIM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Negara (GIACC) harus giat melaksanakan peranan masing-masing, seiring aspirasi yang dibawa Perdana Menteri.

Selain itu, fungsi setiap agensi juga wajar dikaji semula agar tidak berlaku pertindihan peranan yang mengakibatkan kos tinggi kepada kerajaan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM