CYBERJAYA, 28 April- Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan 2022) akan berkuat kuasa 1 Jun depan.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong memaklumkan pindaan itu akan melibatkan beberapa penambahbaikan yang berupaya meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja seluruh negara.
Tambahnya, pindaan itu turut melibatkan peranan majikan untuk melakukan pentaksiran risiko bahaya di tempat kerja.
"Saya telah menandatangani warta untuk menguatkuasakan pindaan terbaharu Akta OSH ini pada 1 Jun 2024. Antara undang-undang terbaharu contohnya pentafsiran risiko. Majikan dan pihak berwajib harus menganalisis risiko-risiko di tempat kerja di bawah pindaan baru."
"Ada juga kewajipan melantik penyelaras keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH Coordinator). Sebelum ini tidak ada. Sekarang, jika syarikat lebih daripada lima orang pekerja dan ke atas, wajib melantik penyelaras OSH. Dalam pindaan tersebut, kita menambah baik peruntukan-peruntukan untuk pegawai OSH," kata Steven kepada pemberita dalam sidang media selepas Sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan dan Kesihatan Di Tempat Kerja yang berlangsung, di sini.
Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan 2022) telah diluluskan di Parlimen pada Mac lalu.
Selain itu, pekerja juga bakal memiliki hak untuk mengasingkan diri daripada tempat kerja yang berisiko tinggi selaras konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).