KUANTAN, 11 April- Penubuhan Akademi Rel Pahang bakal mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga kerja luar dalam industri rel tempatan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif strategik yang dilaksanakan kerajaan negeri itu dilihat memperkasakan lagi sistem rel negara.
"Kita hanya perlu mengikut piawaian yang telah ditentukan itu agar mengguna tenaga yang dikeluarkan dari Akademi Rel Pahang dan lain-lain institusi dalam pengurusan rel.
Ini bukan hanya dapat digunakan terhadap permintaan domestik, untuk industri ini tetapi mungkin kita boleh eksport tenaga yang berkemahiran ini ke luar negara kelak. Insya-Allah," kata Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Akademi Rel Pahang, di sini.
Melalui akademi tersebut, pelbagai cabang kemahiran di dalam industri rel dapat dilahirkan antaranya, pengendali tren, pengendali sistem dan perancang laluan.