KUALA LUMPUR, 25 Ogos - Penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam penyediaan berita dilihat mampu meningkatkan mutu dan kecekapan pemberitaan, selain memastikan maklumat sahih dapat disampaikan lebih pantas kepada masyarakat.
Penerbit Rancangan RTM, Ameerul Eiman Azizi berkata, penerapan AI memberi ruang kepada wartawan menumpukan perhatian terhadap tugasan yang lebih penting.
“Secara idealnya, AI digunakan untuk melaksanakan tugasan yang memerlukan masa, agar wartawan boleh fokus pada kerja utama yang lain. Ini sekali gus dapat mempertingkatkan kualiti pemberitaan,” katanya.
Wartawan Luqman Hariz pula menyifatkan teknologi berkenaan memberi banyak kelebihan kepada kewartawanan khususnya dari segi penjimatan masa dan kos.
“Jika sebelum ini transkripsi sidang media selama satu jam mengambil masa sehingga tiga jam, kini ia dapat disiapkan hanya dalam beberapa minit. Ini membolehkan wartawan memberi tumpuan kepada semakan fakta, penulisan berita dan menghasilkan laporan berkualiti tinggi,” jelasnya.
“Selain menjimatkan masa, penggunaan AI juga meningkatkan produktiviti wartawan. Ini kerana pengamal media tersebut kini berupaya menyiapkan lebih banyak laporan atau berita dalam tempoh singkat.”
Tambahnya, teknologi ini turut membuka ruang kepada wartawan menghasilkan lebih banyak laporan khas, menjalankan temu bual mendalam serta memperkayakan penceritaan berita.
“Bukan sahaja kuantiti berita dapat ditingkatkan, malah kualiti pemberitaan yang boleh dikongsikan kepada umum juga semakin baik.”
Namun kedua-dua mereka menegaskan bahawa semakan fakta tetap perlu dilakukan bagi memastikan berita yang disampaikan kekal tepat, sahih dan berintegriti.
Mereka ditemui selepas menjadi panel pada Program Khazanah Tea Talk Series: AI Adoption in Newsroom di ibu negara.