KUALA LUMPUR, 25 Ogos - Perbadanan Kota Buku (PKB) menyasarkan dua juta buku tulis kitar semula diedarkan menjelang musim persekolahan Januari 2026.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, jumlah yang disasarkan itu akan memberi manfaat kepada lebih ramai murid, meringankan beban kewangan keluarga berpendapatan rendah serta menyumbang kepada pemeliharaan sumber semula jadi.
Fasa kedua projek itu turut menggalakkan penyertaan syarikat korporat, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan konglomerat sebagai rakan strategik dalam usaha memperkasa pendidikan dan kelestarian alam sekitar.
"Penyertaan syarikat korporat dalam program berkenaan bukan sahaja dapat menaikkan imej syarikat, malah akan memaparkan komitmen mereka terhadap aspek persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang semakin diberi perhatian di peringkat global.
"Jadikanlah logo syarikat anda terpampang pada buku-buku yang akan digunakan oleh murid-murid di seluruh negara. Tunjukkan bahawa syarikat anda bukan sahaja menjana keuntungan, tetapi turut memberikan nilai kepada pendidikan dan kelestarian," katanya.
Sasaran pengedaran dua juta buku tulis kitar semula merupakan satu lonjakan besar berbanding fasa satu yang berjaya mengedarkan sejuta buku tulis.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Kota Budi ESG (Fasa 2): Dua Juta Buku Tulis Kitar Semula: Memacu Pendidikan Lestari di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis pelancaran itu Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Kota Buku, Tan Sri Dr Nik Norzarul Thani N Hassan Thani dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Adibah Omar.
Mengulas lanjut Wong berkata, penajaan buku oleh syarikat-syarikat bukan sahaja mengangkat jenama korporat di mata rakyat, malah turut meningkatkan keyakinan pelabur dan pelanggan terhadap syarikat yang mendukung tanggungjawab sosial korporat.
Kementerian Pendidikan komited untuk menyokong inisiatif berimpak tinggi yang selari dengan usaha mengarusperdanakan ESG dalam ekosistem pendidikan negara.
Inisiatif tersebut juga seiring dengan dasar nasional dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).