fb fb fb fb fb

Ahli Puspanita diseru amal konsep rahmah

(Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan sumbangan kebajikan Rahmah Puspanita)

PUTRAJAYA, 11 April- Ahli-ahli Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) dan rakyat Malaysia diseru menghayati dan mengamalkan konsep rahmah dan ihsan dalam kehidupan seharian.

Menurut Penaungnya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, konsep rahmah dan ihsan dapat menunjukkan ukhuwah dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

"Madani adalah salah satu daripada konsep rahmah, bukan saja kita dapat menimba ilmu dan menambahkan pendapatan, namun kita kongsikan bersama (konsep rahmah dan ihsan) seperti bagaimana kita melihat jiran kita atau persekitaran kita dan kita jaga sama-sama,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Tazkirah dan Khatam al-Quran 'Kasih Puspanita 1444 Hijrah' di Putrajaya.

Pada majlis itu, Dr Wan Azizah turut menyampaikan sumbangan kebajikan Rahmah Puspanita kepada 135 penerima terdiri daripada ahli Puspanita, ibu tunggal, Orang Kurang Upaya, wakil taska dan tadika Puspanita, pelajar maahad tahfiz serta wakil pertubuhan dan rumah kebajikan.

Majlis yang disertai kira-kira 630 ahli Puspanita itu turut diserikan dengan pameran al-Quran terpanjang di dunia yang dibawa khas dari China melalui kolaborasi strategik Cheng Ho Multi Culture Education Trust.


(Datuk Seri Dr Wan Azizah)

Media Baharu