fb fb fb fb fb

Agong zahir penghargaan kejayaan sambutan Hari Kebangsaan 2022

Foto FB Istana Negara

KUALA LUMPUR, 3 September- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa sukacita dan kagum dengan majlis sambutan Hari Kebangsaan 2022 yang telah berlangsung di Dataran Merdeka pada 31 Ogos lalu.

Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan tahniah dan setinggi penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur atas kejayaan sambutan Hari Kebangsaan 2022 yang telah disempurnakan dengan rapi dan cemerlang.

Baginda turut menzahirkan rasa sukacita dan setinggi penghargaan kepada rakyat yang tekah datang memenuhi lokasi majlis dan kawasan sekitar untuk menyertai dan secara berdispilin menonton sambutan hari yang bersejarah itu, yang mana telah dilaporkan melebihi jangkaan 20,000 orang.


(Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Permaisuri ketika Hari Kebangsaan yang lalu / Foto FB Istana Negara)

Baginda bertitah, semangat perpaduan, kenegaraan (patriotisme) dan cintakan negara yang telah dipamerkan oleh rakyat di majlis tersebut dan juga di majlis-majlis yang telah dianjurkan di seluruh negara adalah sangat membanggakan.

Baginda menzahirkan harapan semoga semangat tersebut yang secara langsung mencerminkan keakraban rakyat pelbagai kaum di negara, memperkukuhkan lagi keharmonian negara.

Baginda turut menzahirkan harapan agar ianya juga dipamer dan diteruskan dalam memperingati dan meraikan Hari Malaysia pada 16 September 2022 nanti.

Baginda juga amat kagum menyaksikan persembahan yang telah ditunjukkan oleh semua kontinjen agensi-agensi kerajaan dan murid-murid sekolah yang telah mengambil bahagian di majlis tersebut.

Semangat kenegaraan dan cintakan negara yang telah dipamerkan oleh mereka, khususnya murid-murid sekolah yang terdiri daripada pelbagai peringkat persekolahan dan kaum, adalah sewajarnya dipuji dan dicontohi.

Media Baharu