JOHOR BAHRU, 20 September - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan supaya pemeliharaan alam sekitar dan keselamatan pelancong sentiasa diberikan perhatian utama di kepulauan Mersing.
Seri Paduka Baginda bertitah menegaskan kepulauan Mersing adalah antara aset pelancongan negara yang bernilai, justeru pengurusan lebih teratur dan berkesan perlu dilaksanakan bagi memastikan kelestarian alam semula jadi sentiasa terpelihara.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, kedatangan pelancong untuk menikmati keindahan pulau-pulau di Mersing sentiasa digalakkan.
Namun pada masa sama kawalan, pemantauan dan penguatkuasaan perlu dipertingkatkan agar tidak berlaku pencemaran, ancaman keselamatan serta kerosakan ekosistem laut.
“Baru-baru ini, saya melihat di dalam paparan media sosial keadaan bot pelancong sesak serta jumlah pengunjung terlalu ramai. Oleh demikian, pemuliharaan biodiversiti adalah amat penting bagi terus memelihara khazanah alam sekitar.
“Pengurusan yang berkesan bukan sahaja memastikan keindahan pulau-pulau Mersing terus terpelihara, malah menjamin kesejahteraan rakyat serta kelangsungan industri pelancongan negara,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO).