fb fb fb fb fb

Agong, Raja Permaisuri solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan

(Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan hari ini/BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 2 Mei - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Pasangan diraja itu berangkat tiba di masjid berkenaan pada 8.14 pagi bersama anakanda Seri Paduka Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah.

Solat dipimpin Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan Muhyidin Aziz @ Saari dan turut disertai Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tiba pada 8.07 pagi, selain anggota Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri bersama pasangan dan orang awam.

Ini kali pertama Yang di-Pertuan Agong menunaikan solat sunat Aidilfitri di luar Istana Negara.

(Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah)

 Solat dilaksanakan mengikut ketetapan baharu berhubung kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) di masjid dan surau Wilayah-wilayah Persekutuan berkuat kuasa hari ini selaras pengumuman kerajaan berkaitan kelonggaran SOP di masjid dan surau.

Ketetapan tersebut antara lain meliputi pemansuhan imbasan kod QR MySejahtera untuk daftar masuk ke masjid dan surau, penggunaan sejadah sendiri serta penjarakan fizikal antara jemaah dalam semua keadaan di masjid dan surau.

Selain itu, kemasukan ke masjid dan surau dibenarkan tanpa mengira status vaksinasi kecuali jemaah yang berstatus ‘Berisiko Tinggi’ atau di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

Pemakaian pelitup muka diwajibkan di dalam masjid dan surau yang tertutup, namun tidak diwajibkan di kawasan terbuka.

Khutbah Aidilfitri bertajuk 'Kemenangan Menuju Keredaan' dibacakan Muhyidin, antaranya menyeru umat Islam seluruh negara melaksanakan kawalan kendiri sebaiknya dan melengkapkan pengambilan vaksin penggalak serta vaksinasi untuk anak bagi mengurangkan risiko lebih teruk akibat wabak COVID-19.

Umat Islam turut diseru supaya bersama-sama memperbaik hubungan persaudaraan.

Sebelum berangkat pulang, Al-Sultan Abdullah berkenan meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan para jemaah.

Perdana Menteri juga turut meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan jemaah.

Pasangan Seri Paduka kemudian berangkat meninggalkan masjid kira-kira 9.15 pagi, diikuti Ismail Sabri dan Jemaah Menteri serta Timbalan Menteri. -BERNAMA




Media Baharu