fb fb fb fb fb

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke istiadat pengurniaan darjah kebesaran

(Foto BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 5 Jun - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat ke Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 di Istana Negara.

Ini merupakan istiadat pengurniaan darjah kebesaran terakhir yang disempurnakan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong, setelah bersemayam sejak lima tahun lepas.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah yang memakai persalinan rasmi Yang di-Pertuan Agong iaitu Muskat, disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut berangkat ke istiadat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. 

Perdana menteri dan isteri kemudiannya mengiringi Seri Paduka berdua ke Peterana Diraja bagi menerima Hormat Diraja oleh Kawalan Kehormatan Utama di Dataran Istana Negara. 

Serentak dengan itu, lagu Negaraku dimainkan Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) dan Panji Peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dikibarkan diikuti 21 das tembakan meriam.

Yang di-Pertuan Agong kemudiannya berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dan selesai pemeriksaan, Seri Paduka sekali lagi menerima Hormat Diraja sebelum lagu Negaraku berkumandang. 

Pasangan diraja itu kemudiannya diiringi perdana menteri dan isteri berangkat meninggalkan Peterana Diraja bagi meneruskan atur cara Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Balairung Seri. 


(Foto BERNAMA)

Media Baharu