fb fb fb fb fb

Agong luang masa lawat Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah

 (Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bergambar
bersama rakan baginda yang menjalani latihan di Royal Military Academy Sandhurst (RMAS) di
Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah/ Foto BERNAMA)

TEMERLOH, 14 Mac - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang, Temerloh, Pahang bersama rakan kadet Royal Military Academy Sandhurst (RMAS).

Ketibaan Seri Paduka bersama 13 rakan kadet Intake SMC 19 yang menjalani latihan bersama di RMAS, United Kingdom pada tahun 1978 dan 1979 itu, disambut oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Sejurus keberangkatan tiba ke pusat itu, Al-Sultan Abdullah bersama rombongan dibawa melawat sekitar pusat konservasi tersebut serta diberikan penerangan ringkas oleh Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

Dalam lawatan tersebut, Seri Paduka serta rombongan turut diberikan peluang melihat lebih dekat antara 25 ekor gajah yang terdapat di pusat konservasi itu antaranya, Abot, Rambai, Cherry dan Honey.



(Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memberi
makanan kepada sekumpulan gajah ketika melawat Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK)
Kuala Gandah bersama rakan kadet Royal Military Academy Sandhurst (RMAS)/ Foto BERNAMA)   

Al-Sultan Abdullah serta rombongan juga tidak melepaskan peluang menyertai aktiviti memberi makan gajah, menonton pertunjukan serta melihat aktiviti gajah mandi.

Dalam lawatan itu juga, Al-Sultan Abdullah turut memberikan penerangan ringkas terhadap tetamu daripada United Kingdom itu mengenai usaha kerajaan dalam menyelamat serta memelihara gajah bagi mengelakkannya daripada terus diancam kepupusan.

PKGK Kuala Gandah ditubuhkan pada 1989 yang kini mempunyai 25 ekor gajah serta merekodkan kedatangan kira-kira 200,000 pengunjung setahun sebelum pandemik COVID-19.

Media Baharu