fb fb fb fb fb

Agong berkenan cemar duli masyhur Masjid Sultan Ibrahim

Foto Instagram Sultan Ibrahim

TANJUNG BIDARA, 14 Jun - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mencemar duli sempena Majlis Pemasyhuran Masjid Sultan Ibrahim, Kampung Ayer Hitam Pantai, Tanjung Bidara Melaka.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di masjid berkenaan tepat pukul 1.00 tengah hari diiringi alunan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
 
Baginda disambut oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
 
Pada majlis itu, Seri Paduka Baginda mencemar duli menandatangani plak sebagai simbolik pemasyhuran dan turut berkenan mengurniakan cek bakul makanan Yayasan Sultan Ibrahim Johor.
 
Sultan Ibrahim yang memakai sepersalinan lengkap baju melayu Johor berwarna kuning lembut kemudiannya mendengar khutbah Jumaat bertajuk 'Berkorban Kerana Allah Taala' dan disusuli dengan solat Jumaat yang diimamkan Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil dan bilal Muhammad Al Abror Mohamed Amir.
 
Masjid Sultan Ibrahim yang dahulunya dikenali sebagai Masjid Nur Jannatul Bahri, Kampung Ayer Hitam Pantai merupakan masjid pertama dimasyhurkan dengan nama Yang di-Pertuan Agong ke-17.

TETITIA YUSOFF