fb fb fb fb fb

31,600 jemaah haji mula bergerak ke Arafah secara berperingkat

Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar

MEKAH, 14 Jun- Seramai 31,600 jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah secara berperingkat bermula pukul 7.00 pagi waktu Arab Saudi bagi melaksanakan ibadah wukuf esok bersamaan 9 Zulhijjah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, sebanyak 20 bas disediakan bagi melancarkan pergerakan tersebut selain mengharapkan jemaah diharap dapat menumpukan perhatian untuk beribadah ketika berada di Arafah. 

"Kita sedia maklum berwukuf di Arafah ini adalah merupakan antara tempat yang paling mustajab doa. Jadi saya harapkan jemaah-jemaah haji yang tiba di bumI Arafah dapat terus memberikan tumpuan melakukan ibadah.

"...dan elakkan diri daripada berbicara bercakap perkara-perkara yang tidak berfaedah sebab kita bimbang dia akan memberi kesan kepada haji mabrur yang kita pohon kepada Allah SWT," katanya kepada pemberita di sini.

Dalam pada itu, lebih 600 petugas haji kebajikan dan perubatan telah bergerak secara berperingkat ke Arafah, Muzdalifah dan Mina bermula malam tadi.

Selain itu, 315 sukarelawan dalam kalangan jemaah haji daripada sembilan maktab akan turut membantu kelancaran operasi Masyair tahun ini.

Sementara itu jemaah haji Che Zulkipli Che Ahmad yang ditemui meluahkan kesyukuran diberi kesihatan yang baik untuk melaksanakan salah satu daripada enam rukun haji.

"Saya ucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana diberi kesihatan dan saya dapat bergerak ke Arafah dengan baik pagi ini.

"Terima kasih kepada Tabung Haji kerana telah menjalankan pengurusan yang begitu profesional kepada bakal haji di Malaysia," katanya.

Bagi Zaiton Daud pula, dia mengharapkan agar dapat menjalani ibadah haji dan dipermudahkan urusan.

"...sebak, sayu dan saya mengharapkan semoga Allah permudahkan kami semua untuk melaksanakan rukun haji dan makbulkan semua doa," katanya sebak.

Pergerakan ke Arafah merupakan satu pergerakan terbesar dengan lebih dua juta jemaah haji akan bergerak ke padang Arafah bermula 8 Zulhijjah.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI