KELANTAN, 27 Disember- Kementerian Kewangan menggesa agar syarikat berkaitan kerajaan lebih proaktif dalam menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu
meringankan beban rakyat yang ditimpa musibah.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pandangan itu dilontarkan terutamanya kepada syarikat menteri kewangan diperbadankan.
(Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan)
Beliau berkata, mereka disarankan untuk terbabit dalam program CSR bagi membantu rakyat tanpa diarah.
Beliau turut meminta, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) supaya lebih agresif membantu rakyat yang ditimpa musibah tanpa menunggu arahan.
Menurutnya, keuntungan yang diperoleh syarikat serta agensi terbabit sesuai disalurkan kepada rakyat yang ditimpa musibah seperti banjir.
"Dan saya harap selepas ini agensi agensi lain terutama yang mengutip hasil dan juga syarikat syarikat menteri kewangan yang diperbadankan yang ada keuntungan diletakkan csr kepada rakyat apabila rakyat menerima musibah," katanya dalam sidang media selepas Penyampaian Bantuan Bencana Banjir di Pejabat Tanah Dan Jajahan Machang, di sini, hari ini.
Katanya dalam siri bantuan kepada mangsa banjir pada hari ini, pihak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menyumbangkan 800 bungkusan makanan manakala JKDM pula menyumbangkan beras dan kain batik.