fb fb fb fb fb

Sekretariat bersama ditubuh, bincang peranan pelbagai agensi, tangani kos sara hidup

(FOTO HIASAN/BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 27 Disember- Sekretariat bersama bagi membincangkan peranan pelbagai agensi dalam menangani isu kos sara hidup ditubuhkan.

Ia melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bersama Kementerian Ekonomi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, menerusi kenyataan bersama, berkata sekretariat itu akan menjadi platform di peringkat pegawai bagi tujuan berkenaan.

Ketika ini, perancangan pelaksanaan beberapa penyelesaian pantas sedang diperincikan. Ia termasuk pelan tindakan kerjasama rentas kementerian dan mengemas kini beberapa prosedur pelaksanaan dasar yang dijangka dilaksanakan mulai hujung Januari depan.

"Kerajaan komited membantu rakyat, tanpa menjejaskan kedudukan ekosistem perniagaan serta industri yang masih dalam tempoh pemulihan pasca pandemik COVID-19.

"Untuk itu, kerjasama semua pihak berkaitan rantaian nilai, termasuk kerajaan, pengeluar, peniaga dan juga rakyat, diperlukan bagi pengawalan inflasi dan kos sara hidup," menurut kenyataan berkenaan.

(Penubuhan skretariat ini diharap memudahkan pengurusan kos, seterusnya memastikan segala penjimatan
dapat dialirkan kepada pengguna, sekali gus meringankan beban kos sara hidup rakyat/BERNAMA)

Menurut kenyataan bersama itu juga, kos sara hidup bukan sahaja membabitkan harga murah, sebaliknya perlu adil kepada pengeluar, peniaga dan pengguna.

Kerajaan berharap perkara ini akan memudahkan pengurusan kos, seterusnya memastikan segala penjimatan dapat dialirkan kepada pengguna, sekali gus meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Rakyat turut disaran memberi tumpuan kepada empat fokus bagi memperkukuh peranan sebagai pengguna bijak, dengan merancang perbelanjaan sebelum melakukan pembelian.

Selain itu, menyesuaikan kecenderungan jika terdapat pengganti bagi barangan yang mencatatkan peningkatan harga, membuat perbandingan harga menerusi aplikasi 'Price Catcher' dikendalikan KPDN serta membeli mengikut kuantiti diperlukan.


Media Baharu