KOTA BHARU, 4 Julai - Agensi-agensi agama di Malaysia akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membendung penyebaran ideologi ekstremisme dalam kalangan pekerja warga asing yang beragama Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Na'im Mokhtar berkata, usaha tersebut akan digerakkan melalui kerjasama antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
Katanya, ia bertujuan mengenal pasti individu yang terpengaruh dengan fahaman bertentangan dengan ajaran Islam. Kerajaan komited mengekang penyebaran ideologi melampau yang boleh menggugat keharmonian negara.
"Kita akan bekerjasama dengan kementerian- kementerian lain khususnya KDN dalam kita mengenal pasti pekerja pekerja asing yang terpengaruh dengan ideologi tersebut. Setakat ini saya boleh cakap Insya-Allah kerjasama berterusan akan diadakan antara pihak agensi agama JAKIM dan YADIM bersama dengan KDN untuk mengekang ideologi tersebut dalam kalangan pekerja pekerja asing," katanya.
Datuk Dr Na'im bercakap dalam sidang media selepas menghadiri Program Rai Ummah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Bersama Komuniti, di sini.
Media sebelum ini melaporkan Gerakan Militan Radikal Bangladesh (GMRB), dikesan menyebarkan fahaman ekstrem dalam kalangan warga Bangladesh yang memasuki negara ini secara sah untuk bekerja, sebelum merekrut mereka menyertai kegiatan berkaitan keganasan.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata kumpulan itu didapati mula menyebarkan ideologi kumpulan pengganas IS kepada komuniti migran, terutama warga Bangladesh, melalui platform media sosial dan aplikasi pesanan.
Terdahulu, Datuk Dr Mohd Na'im turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa ribut, pelajar asnaf yang cemerlang dan sumbangan khas sebuah rumah kepada ibu tunggal dengan nilai keseluruhan RM145,000.