fb fb fb fb fb

Agenda pemerkasaan ekonomi bersifat menyeluruh - PM

Foto BERNAMA

SUNGAI SIPUT, 6 Oktober- Agenda pemerkasaan ekonomi Malaysia dilaksanakan dengan adil dan saksama tanpa meminggirkan mana-mana kaum di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia termasuk pelaksanaan program pemerkasaan ekonomi kaum India.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata hal itu dibuktikan melalui peruntukan menerusi program Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional untuk semua kaum, termasuk Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang juga telah diperluas kepada kaum India.

"Saya sebut ini di parlimen. Kalau di semenanjung Malaysia, jumlah yang paling miskin siapa? Melayu majoriti tetapi kategori termiskin dalam kalangan masyarakat termiskin itu adalah juga orang-orang India."

"Orang-orang India itu adalah warganegara kita, rakyat kita. Saya sebagai Perdana Menteri, maka itu tanggungjawab saya," kata Anwar kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Heawood di Sungai Siput.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.

SJKT Heawood dibina di kawasan seluas 2.4 hektar melibatkan kos RM13.19 juta mula beroperasi pada 11 Mac lepas dan mempunyai 12 bilik darjah.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM