fb fb fb fb fb

AGC selar surat peguam kumpulan Sulu, prosiding masih berjalan

(FOTO HIASAN)

PUTRAJAYA, 3 Jun – Jabatan Peguam Negara (AGC) menyelar sekeras-kerasnya dan menganggap surat, tuntutan dan sindiran terhadap Kerajaan Malaysia oleh peguam Paul H Cohen yang mendakwa sebagai waris kumpulan Sulu, sebagai melampau.

Menerusi surat bertarikh 28 Mei itu, peguam berkenaan menuntut bayaran segera iaitu sebelum 2 Jun bagi Final Award yang dikatakan berjumlah sebanyak AS$16.412 bilion termasuk 10 peratus faedah serta AS$3.502 bilion bagi bayaran peguam dan ahli pakar serta AS$4.026 bilion bagi kos timbang tara.

(FOTO FAIL)

"Dalam hal ini, adalah melampau bagi penuntut untuk membuat tuntutan bayaran bagi Final Award yang dikatakan itu sedangkan prosiding undang-undang masih lagi berlangsung," kata AGC menerusi kenyataan pada Jumaat.

AGC berkata, berikutan itu satu laporan polis dibuat pada 1 Jun lalu terhadap Paul H Cohen atas kenyataan dan dakwaan tidak adil yang dibuat terhadap Peguam Negara.

"Tindakan ini membolehkan siasatan yang sewajarnya dijalankan bagi apa-apa kesalahan jenayah yang dibuat di bawah undang-undang Malaysia.

"Kerajaan Malaysia akan terus mengambil semua langkah yang sewajarnya termasuk tindakan perundangan untuk menamatkan segala tuntutan berkenaan bagi memastikan kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara," kata AGC.

Media Baharu