fb fb fb fb fb

Manfaatkan perpustakaan terokai kepelbagaian ilmu - Pemangku Raja Perlis

ARAU, 3 Jun - Rakyat disaran menerokai pengetahuan menerusi kepelbagaian bahan bacaan yang terdapat di perpustakaan.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah menjadi kerugian jika kemudahan sedemikian, tidak digunakan sebaik mungkin.

Baginda bertitah, masyarakat boleh mengunjungi hub komuniti yang terdekat agar celik dan cakna dengan ilmu pengetahuan terkini supaya tidak ketinggalan.

"Kini, penggunaan pelantar media sosial seperti facebook, Instagram, TikTok dan Twitter adalah begitu meluas dan seharusnya menggunakan pelantar-pelantar sebegini untuk menyebarkan dan berkongsi tentang kebaikan dan manfaat yang boleh didapati di hub komuniti, " titah baginda ketika merasmikan Hub Komuniti @ Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini hari ini.

(Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail)

Keberangkatan tiba baginda merangkap Canselor bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor disambut oleh Naib Canselor UniMAP, Profesor Datuk Dr. Ir Zaliman Sauli.

Hub Komuniti @ PTSFP adalah salah satu inisiatif berimpak dalam memperkasa strategi libat sama dan pembangunan komuniti.

Melalui deklarasi inisiatif Hub Komuniti, Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra komited untuk merangka, melaksana dan meluaskan impak sumber maklumat, fasiliti, perkhidmatan dan kepakaran untuk kesejahteraan komuniti.

PTSFP menawarkan akses kepada jutaan teks penuh e-jurnal, e-buku dan lebih 100,000 objek digital bahan pembelajaran dan penyelidikan yang dihasilkan oleh warga UniMAP.

Media Baharu