KUALA LUMPUR, 24 September - Tiga agenda utama kerjasama ekonomi dan perdagangan menjadi tumpuan pada mesyuarat Perundingan AEM-Korea Selatan (ROK) hari ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, antara agenda berkenaan ialah penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Korea (AKFTA) dengan skop perbincangan dijangka dimuktamadkan pada Sidang Kemuncak ASEAN, Oktober ini.
Beliau berkata, menteri-menteri ekonomi turut membincangkan potensi kerjasama dalam rantaian bekalan, sektor semikonduktor, mineral strategik serta nadir bumi, selain memperkukuh pertukaran pegawai perdagangan.
“Aspek geopolitik dan geoekonomi turut dibincangkan dengan penekanan kepada usaha memperkukuh pelaburan, perdagangan serta kerjasama dalam teknologi hijau dan peralihan tenaga di rantau ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Perundingan AEM-Korea Selatan, yang menjadi agenda kedua dalam siri mesyuarat hari ini.
Terdahulu, Tengku datuk Seri Zafrul dalam ucapan pembukaan menyatakan pelancaran Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-Korea Selatan pada Oktober 2024 telah membuka era baharu hubungan kedua-dua pihak.
Rangka kerja itu menjadi hala tuju kepada kerjasama lebih erat dalam bidang baharu seperti ekonomi digital, peralihan hijau dan rantaian bekalan yang berdaya tahan.
Sementara itu, Menteri Perdagangan Korea Selatan, Yeo Han-Koo yakin, dengan ikatan perdagangan dan pelaburan yang lebih kukuh, negaranya akan kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar ASEAN selepas China.
“Korea Selatan melihat ASEAN sebagai rakan kongsi berpotensi tinggi, dan kerjasama yang terjalin melalui Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sedia ada serta perjanjian dua hala dengan beberapa negara anggota membuktikan keseriusan hubungan ini,” katanya.