SHAH ALAM, 17 Julai- Adik kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin masih berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.
Menurut Pengarahnya, Azmir Kassim, pihak yang layak untuk menjaga kanak-kanak itu bergantung kepada perjalanan kes ibu bapanya di mahkamah.
"(Dia) kini di bawah perintah jagaan sementara JKM dan kita tempatkan di rumah perlindungan kita sehingga satu tempoh mahkamah tetapkan.
"Kita masih melihat pelbagai pilihan siapa sesuai untuk menjaga adik ini kelak.
"Ia bergantung kepada keadaan kes (membabitkan ibu bapa kanak-kanak itu) sebab kes itu belum berjalan (selesai)," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutup Persidangan Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak dan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK) JKM di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan adik kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin ditempatkan di institusi kebajikan selama dua bulan.
Ia selepas JKM mendapat Perintah Jagaan Sementara mengikut Seksyen 25(2), Akta Kanak-kanak 2001 dari Mahkamah Majistret Shah Alam.