fb fb fb fb fb

Adibah Amin dinobat sebagai Tokoh Wartawan Negara

Anugerah berprestij itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada adik perempuan beliau Fadzilah Amin, yang mewakili kakaknya yang tidak dapat hadir berikutan faktor kesihatan

KUALA LUMPUR, 8 Jun- Wartawan wanita veteran, Adibah Amin diumum sebagai Tokoh Wartawan Negara pada Malam Wartawan Malaysia 2024 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas 2023, malam tadi.

Adibah Amin atau nama sebenar Khalidah Adibah Amin berusia 88 tahun, merupakan wartawan wanita pertama diberikan pengiktirafan tertinggi dalam bidang kewartawanan tempatan.

Anugerah berprestij itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada adik perempuan beliau Fadzilah Amin, yang mewakili kakaknya yang tidak dapat hadir berikutan faktor kesihatan.

Adibah ialah anak kepada pejuang kemerdekaan, Tan Sri Zainon Sulaiman atau Ibu Zain yang terkenal dengan kehebatannya dalam bidang kewartawanan dan penulisan, malah menjadi ahli bahasa, pendidik serta penyampai berita yang cemerlang.

Beliau yang terkenal dengan penguasaan baik dalam bahasa Melayu dan Inggeris itu turut menulis tiga novel bahasa Melayu menerusi nama pena Seri Delima, selain menghasilkan lebih 200 drama radio.

Beliau menjadi wartawan New Straits Times pada 1971 dan menjadi wanita pertama menyandang jawatan sebagai Pengarang Berita Harian (BH) (1983-1984), selain menjadi kolumnis BH dan The Star serta sebagai penasihat editor majalah Jelita.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM