KUALA LUMPUR, 11 Januari- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengumumkan pelantikan Tan Sri Abu Samah Nordin sebagai Pengerusi bukan eksekutif Lembaga Pemantauan Auditnya (AOB) berkuat kuasa 5 Januari lalu.
Beliau menggantikan Datuk Anantham Kasinatherm yang menamatkan penggal tiga tahunnya sebagai Pengerusi bukan eksekutif AOB.
"SC ingin menzahirkan penghargaan kepada Datuk Anantham atas kepemimpinan dan sumbangannya kepada AOB sepanjang tempoh perkhidmatannya.
"Tan Sri Abu Samah membawa bersama pengalaman lebih 40 tahun dalam pelbagai kapasiti dalam agensi kerajaan dan perkhidmatan kehakiman," menurut SC dalam kenyataan hari ini.
Abu Samah dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman di Bahagian Komersial Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 1994, sebelum menjadi Hakim Mahkamah Tinggi Bahagian Komersial pada 1996.
Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi di Kuantan, Shah Alam dan Melaka dan dinaikkan ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan sebelum bersara dariapda perkhidmatan kehakiman.
Tambah SC, latar belakang dan pengalaman Abu Samah akan meningkatkan lagi keberkesanan peranan pengawasan AOB dan memupuk kepercayaan terhadap kualiti penyata kewangan yang telah diaudit di Malaysia.