LANGKAWI, 22 Mei – Sebanyak 9,000 tempat letak kenderaan disediakan bagi kemudahan orang ramai menyaksikan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25), yang akan dibuka kepada pengunjung awam mulai esok (Jumaat).
Tempat letak kenderaan itu terletak di dua lokasi utama iaitu di hadapan Pusat Latihan Polis (PULAPOL) dan berhadapan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.
Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, aliran trafik dijangka sesak di sekitar Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan Resort World Langkawi sepanjang tempoh pameran berlangsung.
Sehubungan itu, orang ramai disarankan untuk menggunakan perkhidmatan e-hailing bagi memudahkan urusan ke lokasi pameran.
“Kaedah dia mudah, iaitu siapa cepat, dia dapat. Dengan bayaran masuk hanya RM5, kami menyeru orang ramai datang lebih awal untuk mendapatkan tempat parkir.
"Saya juga difahamkan lebih 35,000 tiket dalam talian telah dijual oleh penganjur – satu jumlah yang besar.”
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas di PULAPOL Langkawi, hari ini.
Turut hadir, Ketua Urusetia Keselamatan dan Lalu Lintas LIMA’25, ACP Mohd Redzuan Salleh dan Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Shariman Shaari.
Datuk Fisol turut menasihatkan pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang, memberikan kerjasama kepada anggota bertugas serta tidak menghalang lalu lintas sepanjang program berlangsung.