fb fb fb fb fb

Tiga beranak sesak nafas, rumah tingkat 16 musnah dalam kebakaran

FOTO JBPM SELANGOR

KUALA LUMPUR, 22 Mei- Tiga beranak mengalami sesak nafas selepas kediaman mereka di tingkat 16 sebuah pangsapuri di Persiaran Bukit Rahman Putra 1, Sungai Buloh, Selangor musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Razali Wan Ismail berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 6.36 pagi.

Beliau berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi dan tiba dalam tempoh 10 minit sebelum operasi pemadaman dikawal sepenuhnya pada 7.05 pagi.

“Kebakaran melibatkan sebuah unit kediaman seluas kira-kira 1,200 kaki persegi di tingkat 16 yang musnah kira-kira 80 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ketiga-tiga mangsa terdiri daripada seorang lelaki berusia 54 tahun dan dua anak lelakinya dalam lingkungan usia 20-an berjaya menyelamatkan diri sebelum pasukan bomba tiba dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE