fb fb fb fb fb

84 produk makanan sempena Aidilfitri disita JKNJ

(Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon)

JOHOR BAHRU, 6 April- Sebanyak 84 produk makanan sempena perayaan Aidilfitri disita Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) setakat semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berkata, semua produk makanan yang bernilai RM957.01 itu disita kerana menjual makanan melebihi tarikh luput, tin kemek atau pembungkusan yang bocor atau rosak.

Ujarnya, hasil pemantauan dalam tempoh dua minggu ini juga menyaksikan dua peniaga bazar di Mersing diarah tutup tidak kurang 14 hari selepas gagal mematuhi peraturan pengendalian makanan.

"Sebanyak dua aduan berkaitan keselamatan dan kualiti makanan telah diterima dari pengunjung bazar Ramadan sehingga semalam.

"Aduan ini sedang disiasat dan jika benar berlaku perlanggaran ke atas mana-mana Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, pihak jabatan akan mengambil tindakan yang sewajarnya sama ada dikenakan kompaun atau diarahkan tutup tidak lebih dari 14 hari untuk tujuan pembersihan.

"Dalam tempoh sama, sebanyak 3,429 premis Bazar Ramadan sudah diperiksa dari keseluruhan 8,708 premis yang disediakan. Hasilnya di dapati 98 peratus premis yang diperiksa mempunyai tahap penilaian kebersihan yang baik," katanya.

Beliau berkata demikian pada program tinjauan mesra (walkabout) dan lawatan bazar Ramadan Smart Pandan di Johor Bahru.


(Ling Tian Soon pada program tinjauan mesra (walkabout) dan lawatan bazar Ramadan
Smart Pandan di Johor Bahru)

Turut hadir Pengarah JKNJ, Datuk Dr Aman Rabu.

Setakat ini, 3 ribu 429 peniaga bazar ramadan diperiksa daripada 8 ribu 708 premis yang disediakan.

Menurut Tian Soon, dalam tempoh itu juga sebanyak 152 Notis 32B dengan tawaran kompaun bernilai RM 26,800 dikeluarkan kepada pengusaha premis kerana tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

"Aktiviti persampelan terpilih juga dibuat ke atas makanan yang berisiko tinggi di premis bazar, di mana sebanyak 77 sampel diambil untuk dianalisa di makmal bagi mengetahui tahap pencemaran mikrobiologi.

"Sekiranya keputusan adalah tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Makanan 1985, tindakan pendakwaan boleh dikenakan ke atas pengusaha makanan.

"Peniaga yang diberi notis kompaun ini kebanyakannya melakukan kesalahan tidak memakai pelitup kepala, tidak memakai apron, kuku tangan panjang, tidak menutup makanan yang dijual dan beberapa kesalahan lain berhubung isu kebersihan," katanya.

Media Baharu