fb fb fb fb fb

Banjir: 82 calon SPM SMK Air Putih di Kemaman dipindahkan ke sekolah lain

KEMAMAN - 28 Februari - Seramai 82 calon peperiksaan awam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Putih dipindahkan ke sekolah lain selepas sekolah berkenaan dinaiki air sejak semalam.

Jumlah tersebut termasuk 39 pelajar yang tinggal di asrama sekolah berkenaan. Selebihnya calon yang tinggal di rumah turut dipindahkan berikutan laluan ke sekolah itu dinaiki air.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, operasi pemindahan pelajar ke SMK Cheneh Baru kira-kira 23 kilometer dari SMK Air Putih dilakukan polis dan anggota tentera pukul 1 tengah hari tadi menggunakan dua buah lori.

Sebelum itu mesyuarat Pusat Kawalan Operasi Bencana pagi ini memutuskan supaya calon berkenaan dipindahkan ke sekolah lain yang tidak terjejas banjir.

Pemindahan semua calon SPM itu turut mengambil kira aspek keselamatan pelajar termasuk mereka yang berulang alik dari rumah ke sekolah dan situasi banjir yang kemungkinan berlaku.

Hanyan berkata sementara ini kesemua 82 pelajar tingkatan lima sekolah berkenaan akan menduduki SPM bersama 77 pelajar SMK Cheneh Baru, Kemaman.

(Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman, Idris Bidin memberikan kata-kata semangat kepada sebahagian calon SPM terbabit)


Sementara itu, dua pelajar yang juga calon SPM SMK Air Putih yang ditemui bersyukur kerana diberi peluang untuk menduduki peperiksaan tersebut di pusat lain yang tidak terjejas banjir.

Seorang calon SPM Nurul Elyana Syafiqah Suhaimi yang baharu selesai menjalani kuarantin kerana positif COVID-19 dan kini diuji dengan situasi banjir sebelum menduduki peperiksaan.

"Perasaan saya memang rasa tertekan jugaklah. Saya pula baru habis kuarantin. Cikgu beritahu perlu pindah dan ada tempat lain untuk ambil peperiksaan,"kata Nurul di sini.

Seorang lagi calon Rabiatul Khairunisa Faizin amat bersyukur kerana masih dapat menduduki peperiksaan tersebut walaupun terpaksa berpindah pusat ke SMK Ceneh Baru.

"Kita perlu teruskan juga lah. Sebab sebelum ini tak pernah banjir begini. Agak takut jugaklah," menurut Rabiatul.

Kementerian Pendidikan KPM menerusi satu kenyataan memaklumkan, Ujian bertulis peperiksaan SPM 2021 akan dilaksanakan bermula 2 Mac hingga 29 Mac ini melibatkan seramai 407,097 calon.

Seramai 50,514 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan tersebut diadakan di 3,382 pusat peperiksaan seluruh negara.

 

 

Media Baharu