70% kawasan kebakaran di Kampung Tanjung Agas dipadam

Foto JBPM Negeri Sembilan

PORT DICKSON, 27 Mac – Operasi pemadaman kebakaran longgokan kayu membabitkan sisa pokok di Kampung Tanjung Agas, di sini yang memasuki hari kedua mencapai 70 peratus setakat ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiada mangsa dilaporkan terlibat.
  • Kebakaran melibatkan kebun sawit kira-kira 50 ekar; 35 ekar dipadam, baki 15 ekar masih terbakar.
  • Operasi menggunakan serangan terus sektor B dan C serta teknik total flooding dengan sumber air dari parit berdekatan.
  • Kerja memutuskan rantaian api dibuat dengan pembinaan fire break menggunakan jengkaut; operasi melibatkan 17 anggota dan agensi bantuan.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.

Kebakaran itu melibatkan kawasan kebun sawit seluas kira-kira 50 ekar. Setakat hari ini, sebanyak 35 ekar berjaya dipadamkan, manakala baki kebakaran dianggarkan melibatkan keluasan 15 ekar.

Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.18 petang pada Khamis sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Telok Kemang tiba di lokasi kira-kira 20 minit kemudian.

Pada hari pertama, kebakaran dikesan merebak secara bertompok-tompok di kawasan seluas 17 ekar dan berjaya dipadamkan kira-kira 30 peratus.

Operasi hari ini diteruskan menggunakan kaedah serangan terus di sektor B dan C serta teknik total flooding dengan sumber air terbuka dari parit berhampiran.

Kerja-kerja memutuskan rantaian api turut dilakukan melalui pembinaan fire break menggunakan jengkaut bagi mengelakkan kebakaran terus merebak.

Operasi melibatkan 17 anggota daripada beberapa balai termasuk Telok Kemang, Rantau, Gemas dan Tampin, selain dibantu agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), PETRONAS dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Operasi pemadaman masih diteruskan sehingga kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya.