fb fb fb fb fb

55 menara telekomunikasi JENDELA di Johor masih belum beroperasi

Teo Nie Ching mengadakan lawatan kerja ke tapak menara telekomunikasi di Felda Inas, Kulai / FOTO RTM

KULAI, 21 September- Kementerian Komunikasi (KKM) memberi tempoh masa kepada kontraktor dan penyedia perkhidmatan, sehingga 31 Disember untuk memastikan menara telekomunikasi yang telah siap didirikan dapat beroperasi sepenuhnya.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, hanya 52 daripada 107 menara telekomunikasi yang telah dibina di Johor, sedang beroperasi pada ketika ini.

Pihak terlibat juga perlu mencari penyelesaian sementara untuk masalah yang dihadapi, bagi memastikan menara tersebut dapat beroperasi.

Antara isu dikenal pasti adalah pihak berkuasa belum memberi kelulusan untuk pengoperasian menara tersebut.

"Kita minta mereka ikut pelan asal tetapi jika sambungan ke fiber mengambil masa lama, sambungkan kepada gelombang mikro atau starlink supaya penduduk dapat perkhidmatan Internet. Jadi arahan kami supaya cepatkan lagi," katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan kerja ke tapak menara telekomunikasi di Felda Inas, Kulai, Johor.

Menara telekomunikasi yang telah beroperasi pada 31 Julai itu berjaya memberi liputan Internet kepada 1,639 penduduk di sekitar kawasan Felda Inas.

Sementara itu, Teo Nie Ching turut memaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) belum menerima laporan, berhubung kesalahan menggunakan isu agama, bangsa dan institusi raja (3R) sepanjang musim kempen Pilihan Raya Kecil N29 Mahkota, setakat ini.

Beliau berkata, proses kempen adalah terkawal, dan tiada provokasi melampau dikesan pihaknya.

Menurutnya, proses berkempen perlu dijalankan tanpa menyentuh 3R, demi menghormati pemergian bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang meninggal dunia, pada 2 Ogos lalu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE