(Datuk Seri Saifuddin Abdullah bercakap pada sidang media selepas melancarkan buku
Himpunan Genta Rasa-Jufitri Joha di Putrajaya hari ini)
PUTRAJAYA, 12 September - Seramai 54 orang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan kerja yang terkandas di luar negara sudah berjaya diselamatkan.
Daripada jumlah itu 24 mangsa telah berjaya dibawa pulang manakala 29 lagi dalam proses untuk dibawa balik ke tanah air.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan memandang serius kes penipuan kerja tersebut yang dibuat secara dalam talian bagi menarik pekerja-pekerja muda tempatan untuk ke luar negara.
Kebanyakan kes penipuan tersebut dikenal pasti berlaku di negara Kemboja yang merekodkan sebanyak 148 kes penipuan pada tahun ini.
(Sebahagian daripada 24 rakyat Malaysia berjaya dibawa pulang oleh Datuk Seri Saifuddin
Abdullah dari Phnom Penh, Kemboja yang menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan
baru-baru ini)
"Nasihat kita seperti dulu juga iaitu jangan mudah terpedaya kerana cara mereka ini licik, satu dia tawarkan kerja itu yang 'glamour' (terkenal), kedua gaji yang besar, ketiga ada macam-macam keistimewaan dan kemudahan dapat kereta, dapat rumah boleh bercuti di luar negara, kemudian ada setengahnya itu yang lebih dahsyat lagi dia ajak 'holiday' (bercuti) sahaja lepas itu terperangkap dan dipaksa bekerja," kata beliau ketika ditemui selepas melancarkan buku Himpunan Genta Rasa-Jufitri Joha, di sini hari ini.
Walau bagaimana pun, masih ramai rakyat Malaysia yang mempunyai pekerjaan dan gaji yang baik yang kini bekerja di Kemboja.
Jumlah itu kini mencecah kira-kira 5,000 orang selain 500 buah syarikat tempatan yang beroperasi di negara terbabit.
Justeru, rakyat perlu bijak menilai agar tidak mudah tertipu dan diperdaya sekiranya mahu bekerja di negara tersebut.