fb fb fb fb fb

Hanya dua lori tidak lebih muatan - JPJ Perlis

(Anggota Bahagian Penguatkuasa JPJ Perlis melakukan pemeriksaan terhadap
kenderaan perdagangan)

ARAU, 9 April- Sebanyak 53 Notis Arah Timbang dikeluarkan oleh Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis terhadap pelbagai jenis kenderaan berat yang membawa muatan secara berlebihan, bagi tempoh Januari hingga Mac ini.

Pengarah JPJ Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah berkata, kebanyakan kenderaan berat yang dikenakan notis terbabit adalah lori yang membawa muatan batu kerikil, simen dan dolomite secara berlebihan.

Katanya, sebanyak 35 kes saman membawa muatan secara berlebihan di bawah peruntukan Kaedah 89, Kaedah Pengangkutan Jalan 1987 telah dikenakan kepada pemilik dan pemandu lori.

Selain itu, sebanyak 16 Notis Saman bagi kesalahan Gagal Hadir Timbang dikeluarkan kepada pemandu lori yang engkar atau gagal mematuhi Notis Arah Timbang.

Daripada 53 notis yang dikeluarkan, hanya dua kes sahaja lori yang ditimbang tidak melebihi had muatan yang ditetapkan.

Jelas Fatimah, penguatkuasaan undang-undang melibatkan kenderaan perdagangan khususnya kenderaan yang membawa muatan secara berlebihan menjadi fokus utama pihaknya dalam mengurangkan kadar kemalangan dan kematian.

(Fatimah Mohamed Ali Piah (kiri) bersama anggota JPJ Perlis dalam operasi mengesan
kenderaan perdagangan yang melanggar syarat muatan)

Media Baharu