fb fb fb fb fb

Tiga lelaki ditahan di tepi jalan, miliki dadah

(Foto IPD Kuching)

KUCHING, 9 April- Tiga lelaki ditahan di dalam sebuah kereta di tepi Jalan Datuk Ajibah Abol, di sini, semalam, kerana disyaki memiliki pelbagai jenis dadah.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ashmon Bajah berkata, pemeriksaan yang dilakukan oleh anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJND) Kuching sekitar pukul 11.00 pagi itu menjumpai barang mencurigakan seberat 20.89 gram di dalam beg yang disandang ketiga-tiga suspek.

"Polis menjumpai ketulan kristal disyaki syabu seberat 5.10 gram, serbuk putih disyaki ketamin (9.4 gram), sembilan biji pil disyaki erimin 5 (2.58 gram) dan 10 biji pil disyaki ecstacy seberat 3.81 gram.

"Ketiga-tiga suspek juga didapati positif dadah jenis benzo dengan salah seorang daripadanya memiliki rekod lampau dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ashmon, kesemua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM2,325.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

(Foto hiasan)

Media Baharu