
KOTA BHARU, 22 Februari – Sebanyak 52 lokasi bazar Ramadan membabitkan 3,771 tapak niaga diluluskan di seluruh Kelantan sempena Ramadan tahun ini.
- 52 lokasi bazar Ramadan diluluskan di seluruh Kelantan melibatkan 3,771 tapak niaga.
- Pengendalian oleh PBT dengan kerjasama penganjur, menyertakan ribuan peniaga kecil dan sederhana.
- Kerajaan negeri pastikan kebersihan, keselamatan makanan, kelancaran lalu lintas dan pemantauan pematuhan lesen.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata kesemua bazar berkenaan dikendalikan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan kerjasama penganjur yang dilantik, melibatkan penyertaan ribuan peniaga kecil dan sederhana di setiap jajahan.
Beliau berkata bagi kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam, sebanyak 14 lokasi bazar Ramadan dibuka dengan jumlah keseluruhan 1,115 tapak manakala Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam menyediakan 779 tapak di lima lokasi dan Majlis Daerah Tumpat melibatkan 274 tapak di empat lokasi.
PBT lain turut merekodkan jumlah tapak yang ketara termasuk Majlis Daerah Machang (261 tapak), Majlis Daerah Kuala Krai (110 tapak), Majlis Daerah Tanah Merah (252 tapak), Majlis Daerah Pasir Puteh (241 tapak), Majlis Daerah Pasir Mas (165 tapak), Majlis Daerah Bachok-Bandar Pelancongan Islam (147 tapak), Majlis Daerah Jeli (172 tapak), Majlis Daerah Dabong (95 tapak) serta Majlis Daerah Gua Musang (160 tapak).
“Kadar sewaan tapak berbeza mengikut lokasi dan ditetapkan sama ada oleh PBT atau penganjur yang dilantik dengan bayaran antara RM290 hingga RM550 bagi satu tapak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Hilmi berkata kerajaan negeri melalui PBT akan memastikan aspek kebersihan, keselamatan makanan dan kelancaran lalu lintas diberi perhatian sepanjang tempoh operasi, selain menjalankan pemantauan berkala bagi memastikan peniaga mematuhi syarat lesen serta garis panduan yang ditetapkan.- BERNAMA