fb fb fb fb fb

519,000 individu pencari kerja melalui MyFutureJobs berjaya mendapat pekerjaan

GUA MUSANG, 28 Februari- 519,000 individu daripada 1.5 juta pencari kerja melalui penyediaan perkhidmatan pekerjaan MyFutureJobs yang dikendalikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah berjaya mendapat pekerjaan di seluruh negara.

Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan Perkeso, Azirruan Arifin berkata, pada tahun ini pula seramai 300,000 individu dijangka mendapat pekerjaan menerusi insentif penggajian jamin kerja melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM2 bilion oleh pihak kerajaan.

Menurut beliau, menerusi inisiatif serta usaha Kementerian Sumber Manusia ini, isu pengangguran dalam kalangan Keluarga Malaysia dapat ditangani dengan lebih berkesan dan menyeluruh.

"Pada tahun ini seramai 300 ribu individu dijangka mendapat pekerjaan menerusi insentif penggajian jamin kerja dengan fokus utama yang diberikan kepada golongan sasar yang mana melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM2 bilion yang telah diperuntukkan dalam bajet."

"Antara golongan sasar yang dimaksudkan termasuklah pekerja yang kehilangan pekerjaan , individu yang menganggur , golongan mudah terjejas termasuklah warga emas , orang kurang upaya, bekas banduan, veteran askar , orang asli, graduan menganggur serta kaum wanita," kata Azirruan.

(Azirruan Arifin pada Majlis Perasmian Pusat Satelit MyFutureJobs
di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas yang turut dihadiri ADUN Galas, Mohd Syahbuddin Hashim)

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Pusat Satelit MyFutureJobs di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas yang pertama di negara ini di Bandar Utama, Gua Musang, Kelantan.

Sebanyak 61 Pusat Satelit MyFutureJobs telah diwujudkan di seluruh negara.

Pusat Satelit MYFutureJobs membantu meningkatkan akses dan kebolehcapaian masyarakat khususnya yang tinggal di kawasan luar bandar kepada peluang pekerjaan yang terdapat di seluruh negara.

Media Baharu