fb fb fb fb fb

500 sukarelawan UMK siap sedia bantu mangsa banjir

KOTA BHARU, 14 Disember- Seramai 500 sukarelawan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bersiap sedia menyertai Misi Bantuan Banjir dengan kerjasama agensi berkaitan seperti polis serta bomba.

Naib Canselor UMK Prof Datuk Dr Razli Che Razak berkata, sukarelawan Briged Wirawan UMKVengers yang dianggotai pelajar dan kakitangan universiti itu lebih menfokuskan kepada penugasan di peringkat pascabencana tersebut.

"Rata-rata sukarelawan ini merupakan pelajar yang telah mengikuti aktiviti kokurikulum badan unit uniform di UMK dan mereka telah dilatih dan diberi tunjuk ajar untuk menghadapi sebarang bencana alam.

"Hal ini kerana salah satu teras dalam Kementerian Pengajian Tinggi adalah setiap universiti mesti perlu bersama dengan komuniti masyarakat," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Malam Media UMK 2022, di sini, malam tadi.

Beliau berkata, selain melakukan kerja-kerja pembersihan, sukarelawan itu turut mempunyai pasukan kaunseling bagi membantu penduduk terjejas banjir mengurus tekanan emosi dengan baik.

(Naib Canselor UMK Prof Datuk Dr Razli Che Razak)

Penubuhan sukarelawan Briged Wirawan UMKvengers itu bertepatan dengan salah satu teras Kementerian Pendidikan Tinggi supaya universiti sentiasa bersama dengan komuniti.

Turut hadir, Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) merangkap penyelia Berita Ehwal Semasa (BES), RTM Kelantan, Majidah Ismail dan lebih 30 pengamal media di negeri itu.

Media Baharu