fb fb fb fb fb

50 murid Tahun Lima ‘masuk U’, belajar ilmu jalan raya di UiTM Rembau

Sebahagian daripada 50 murid Tahun Lima dari lima sekolah sekitar Rembau ceria menyertai program keselamatan jalan raya anjuran Fakulti Kejuruteraan Awam, UiTM Shah Alam yang berlangsung di UiTM Kampus Rembau, baru-baru ini.

SEREMBAN, 21 Jun - Kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan kanak-kanak terus diperkasa apabila seramai 50 murid Tahun Lima dari lima buah sekolah sekitar daerah ini diberi peluang mengikuti program pendidikan berimpak tinggi di kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Rembau, pada Isnin lalu.

Program anjuran Fakulti Kejuruteraan Awam UiTM Shah Alam itu membuka ruang kepada murid-murid untuk merasai sendiri pengalaman pembelajaran di persekitaran universiti sambil didedahkan dengan ilmu berkaitan keselamatan jalan raya dan teknologi inovatif.

Program edisi kelima Nextgen Engineers: Empowering Communities – Empower Together for Kids’ Safe, Inclusive and Innovative Future 2.0 itu berlangsung di Kampus Rembau, dengan kerjasama PERKESO dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Rembau.

Lima sekolah terlibat ialah SK Pilin, SK Pedas, SK Salak Nama, SK Kampung Batu dan SK Bongek.

Penasihat program, Prof Madya Ir. Dr.-Ing. Masria Mustafa berkata, walaupun program ini kecil skalanya, impaknya sangat besar kepada pelajar dan masyarakat.

"Pelajar kami berkembang menjadi mentor, manakala murid-murid pulang dengan perspektif yang lebih luas dan penghargaan yang lebih mendalam terhadap keselamatan jalan raya. Ia merupakan pengalaman yang benar-benar bermakna buat semua yang terlibat," katanya kepada RTM baru-baru ini.

Program itu dijalankan di bawah inisiatif Service Learning Malaysia, University for Society (SULAM) menerusi kursus ECC589 yang melibatkan tiga modul interaktif iaitu ceramah keselamatan jalan raya, cabaran Master Road Builder, dan bengkel pengekodan lampu isyarat.

Pelajar diberikan pendedahan tentang kod keselamatan jalan raya

Seramai 31 fasilitator pelajar terlibat dalam program itu, termasuk 16 pelajar tahun akhir Fakulti Kejuruteraan Awam dari UiTM Shah Alam dan 15 pelajar dari UiTM Rembau.

Menurut Pengarah Program, Mohamad Syazwan Afiq Johar, penglibatan sebagai fasilitator membantu pelajar universiti membina keyakinan diri dan kemahiran komunikasi.

Majlis penutup disempurnakan oleh Pengarah PERKESO Negeri Sembilan, Wan Kefli Hamid.

Beliau berkata, kesedaran keselamatan jalan raya perlu diterap sejak kecil agar generasi masa depan lebih prihatin dan bertanggungjawab.

“Pendidikan keselamatan jalan raya dan kesedaran sosial mesti dipupuk sejak kecil kerana tenaga kerja masa depan dibina atas asas yang kukuh hari ini,” katanya.

Sejak dilancarkan pada 2020, program ini telah memberi manfaat kepada lebih 200 murid sekolah rendah dan melatih lebih 70 pelajar universiti sebagai fasilitator yang berkesan dan berdaya saing.

Inisiatif ini juga menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan) yang menekankan pembelajaran berasaskan pengalaman dan penglibatan komuniti secara langsung.

Pelajar Tahun Lima teruja dalam kelas kuliah yang dianjurkan Fakulti Kejuruteraan UiTM Shah Alam

GRACE AISYAH KEDAYAN