PULAU BIDONG, 23 Jun- Sebanyak 446 bot nelayan asing dianggarkan bernilai lebih RM1.7 bilion sudah dilucut hak, dilupus dan dijadikan tukun tiruan di beberapa perairan negara oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sehingga kini.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) APMM Malaysia, Khairul Anwar Bachok berkata, bot itu dirampas menerusi operasi yang dijalankan di perairan Sabah, Sarawak, Pantai Timur dan perairan Sedeli dan Mersing di Johor sejak 2008.
Ujarnya, sejak 13 tahun lepas, menyaksikan 159 bot ditenggelamkan sebagai tukun di seluruh Terengganu, melibatkan nilai mencecah RM239 juta.
"Tangkapan yang berlaku disebabkan kedudukan perairan Pantai Timur yang bersempadan dengan Vietnam menyebabkan nelayan negara itu kerap melakukan pencerobohan.
"Terengganu yang aktif sekali meskipun ia berkedudukan agak jauh iaitu 132 batu nautika berbanding perairan Kelantan. Tujuan utama untuk keselamatan, penguatkuasaan dan juga menjaga khazanah hasil laut kita yang banyak diambil dan diceroboh serta dibawa balik ke Vietnam, " katanya.
(Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) APMM , Khairul Anwar Bachok)
Kesemua bot yang dilupuskan adalah bot sudah dilucut hak oleh mahkamah menggunakan dua kaedah iaitu ditenggelamkan untuk dijadikan tukun tiruan dan hancur musnah," katanya.
Khairul berkata demikian pada sidang media selepas melakukan pelupusan tiga bot nelayan Vietnam di Perairan Pulau Bidong.
Hadir sama, Pengarah APMM Terengganu, Kapten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid.
Pelupusan tiga bot yang ditahan sepanjang tahun lalu adalah sumbangan APMM kepada pihak Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi aktiviti penyelidikan kajian akademik di Stesen Penyelidikan Alami Marin UMT, Pulau Bidong.
Ketiga-tiga bot itu ditahan melalui Op Naga Barat dan Op Kuda Laut yang dilaksanakan sepanjang tahun lepas oleh Kapal Maritim (KM) GEMIA dan KM NUSA.
Program pelupusan berkenaan juga mendapat kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Laut Malaysia serta Institut Sumber Marin Asia Tenggara (1SMAT).