fb fb fb fb fb

444 aduan berkaitan media baharu diterima setakat ini -Fahmi

(Fahmi Fadzil (tengah) pada sidang media selepas majlis pelancaran Ulang
Tahun ke-10 Klik Dengan Bijak di Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini)

CYBERJAYA, 17 Januari- Sebanyak 444 aduan berkaitan media baharu diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) setakat pertengahan bulan ini.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, menyifatkan jumlah itu membimbangkan.

Beliau berkata, MCMC kini bertindak proaktif merancang untuk memperkasa program dan aktiviti berkaitan penularan maklumat palsu, tuturan kebencian dan
penipuan dalam talian.

Inisiatif Klik Dengan Bijak (KDB) yang dibangunkan sejak 2012 juga akan dipertingkat untuk meluaskan capaian audiens kepada pelbagai peringkat umur dan latar belakang.

"Saya lihat mungkin kita perlu kembang luaskan lagi terutama di kawasan luar bandar, apabila dapat capaian internet kita mahu pastikan mereka tidak terdedah kepada jenayah scam (penipuan dalam talian).

"Ini selaras usaha manyediakan prasarana dan dalam masa sama menunjukkan cara terbaik menggunakan prasarana dengan bijak," katanya ketika berucap melancarkan Ulang Tahun ke-10 Klik Dengan Bijak (KDB) pada Selasa.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Seri Mohammad Mentek dan Pengerusi Interim MCMC, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain.

Fahmi berkata, beliau memberi sokongan penuh terhadap inisiatif KDB dengan matlamat memberi kesedaran serta pendidikan kepada orang ramai mengenai penggunaan Internet yang positif, produktif dan bertanggungjawab.

(Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil bersama Timbalannya, Teo Nie Ching dan 
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Seri Mohammad Mentek
semasa Majlis Pelancaran Ulang Tahun ke-10 Klik Dengan Bijak di MCMC/RTM)

Fahmi turut menyarankan MCMC untuk menggunakan maklumat daripada orang ramai bagi menambah baik inisiatif berkenaan selaras perkembangan semasa.

"Kita mungkin perlu sedikit anjakan, audiens kita juga merupakan aktivis kita...jadi maklumat itu tidak disimpan untuk kegunaan mereka tetapi mereka secara aktif sampaikan kepada lain.

"Mungkin dari segi ini, saya ingin bincang dengan MCMC...terutama dengan sekolah-sekolah, institut pengajian tinggi awam dan swasta kerana mereka golongan yang ramai sertai ekonomi digital yang sedang kita bangunkan,” katanya.

Media Baharu