fb fb fb fb fb

43 lokasi kerap kemalangan dikenal pasti

IPOH, 19 Januari- Polis Perak mengenal pasti 43 lokasi kerap berlaku kemalangan dalam Ops Selamat 19 sempena dengan Tahun Baru Cina (TBC) sehingga 27 Januari depan.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, tumpuan diberikan kepada daerah-daerah yang mencatatkan jumlah kemalangan maut yang tinggi dan memantau lokasi panas kemalangan untuk kelancaran trafik.

Operasi turut menumpukan kepada pencegahan jenayah pecah rumah selain meminimumkan kemalangan jalan raya.

"Pihak PDRM Perak akan mengutamakan aspek keselamatan harta benda dan juga kawasan di sekitar kejiranan.

"Apabila orang ramai balik ke kampung, kita akan menjalankan rondaan secara berkala bagi memastikan keadaan rumah kejiranan selamat dan tidak berlaku kejadian pecah rumah dan sebagainya," katanya ketika sidang media Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu Tahun Baru Cina di Pusat Transformasi Luar Bandar, RTC Gopeng.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut menjalankan Pra-Ops TBC bermula 14 hingga 17 Januari di sembilan buah depoh dan empat terminal bas utama di Perak.

Seramai 338 anggota terlibat sepanjang operasi tersebut yang turut memberi tumpuan kepada penugasan di 11 kawasan blackspot.

(Mohd Yusri Hassan Basri)

Media Baharu