PUTRAJAYA, 19 Januari - Kelemahan mengurus dan menggunakan ruang untuk memperkaya kelompok-kelompok kecil perlu dihentikan segera.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sekiranya pimpinan politik dan penjawat awam dapat mengurus tadbir dengan baik, secara tidak langsung negara berupaya mendepani cabaran ekonomi dengan yakin dan lebih berkesan.
"Dari kajian projek-projek besar dan termasuk kekuatan badan penguatkuasaan, sekiranya dijalankan dengan teliti, telus dan bertanggungjawab saya yakin berbilion ringgit lagi dapat diselamatkan.
"Kalau kata dana kita ini kurang RM15 bilion, pengurusan yang cekap dan baik itu boleh menyelamatkan RM15 bilion...tanpa projek-projek baru atau ikhtiar atau inisiatif baru. Inilah cabaran kita yang tidak mungkin dilaksanakan dengan jemaah menteri sahaja tetapi dengan seluruh kekuatan yang ada," katanya ketika berucap pada majlis Amanat Perdana Menteri Membangun Malaysia Madani, di sini.
Tambah Anwar, berdasarkan penelitian bersama jemaah menteri mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2021 semalam kerajaan sebenarnya mampu menyelamatkan RM5 hingga RM6 bilion sekiranya kelemahan-kelemahan tersebut diperbaiki.