fb fb fb fb fb

400 sertai kayuhan santai sempena Jelajah AKM Kedah

ALOR SETAR, 3 September- Kira-kira 400 peserta terdiri daripada penjawat awam dan orang ramai menyertai Program Fun Ride sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Kedah.

Program yang bermula pada 8.10 pagi dari Dataran Pahlawan di sini disertai Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Norizan Khazali serta Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Kedah Mohd Firdaus Ahmad.

Program kayuhan santai itu terbahagi kepada dua kategori iaitu kategori orang awam sejauh 25 kilometer (km) manakala satu lagi kategori membabitkan penjawat awam bersama ketua jabatan sejauh 11km, yang juga kayuhan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Pegawai Teknikal program Fauzan Fuad berkata untuk kategori orang awam, kayuhan tamat di Dataran Pahlawan manakala bagi penjawat awam bersama Mohd Zuki dan ketua jabatan serta kenamaan lain adalah di bangunan Wisma Darul Aman di sini.

"Dalam kayuhan CSR ini Ketua Setiausaha Negara bersama yang lain akan berhenti di pit stop untuk memberikan bakul makanan kepada asnaf," katanya ketika ditemui Bernama semasa acara pelepasan peserta program yang disempurnakan Mohd Zuki di sini hari ini.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali melepaskan kira-kira 400 peserta yang
terdiri daripada penjawat awam dan orang ramai dalam kayuhan Program Fun Ride
sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Kedah hari ini / FOTO BERNAMA

Fauzan berkata cabutan bertuah yang menawarkan hadiah motosikal menanti peserta dalam kategori orang awam.

Jelajah AKM Negeri Kedah yang berlangsung selama tiga hari mulai semalam di Stadium Darul Aman di sini adalah edisi kesembilan selepas Johor, Perlis, Sabah, Terengganu, Perak, Kelantan, Sarawak dan Selangor. -BERNAMA

Media Baharu