fb fb fb fb fb

40,000 veteran ATM dinasihat berdaftar dengan JHEV

Ketua Pengarah JHEV, Mejar Jeneral Zambery Jefry Darus

MARAN, 24 Oktober- Kira-kira 40,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih belum mendaftarkan diri di bawah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).

Perkara itu menyukarkan agihan bantuan kepada golongan itu.

Ketua Pengarahnya, Mejar Jeneral Zambery Jefry Darus berkata pangkalan data JHEV mendapati hanya seramai 230,000 veteran tentera membabitkan 188,000 berpencen dan 78,000 veteran tidak berpencen yang telah berdaftar, setakat ini.

Sementara itu, kira-kira 40,000 veteran tentera tidak dapat dikesan kerana mereka tidak mengemas kini maklumat di JHEV dan persatuan ATM di tempat masing-masing.

"Mereka ini perlu melaporkan diri ke JHEV. Tidak perlu mendaftar. Cuma kita minta mereka lapor diri untuk kita wujudkan rekod mereka dalam sistem kami. Mereka boleh minta persatuan bantu," kata Zambery kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung ke-11 Pertubuhan Kumpulan Tentera Tidak Berpencen Negeri Pahang di Pejabat Agama Islam Daerah Maran di Pahang.

Tambah Zambery, melalui langkah itu veteran ATM akan mendapat pelbagai kemudahan termasuk dari segi kesihatan dan sebagainya yang disediakan kementerian dan kerajaan.

Oleh itu, pihaknya menggesa veteran tentera berpencen atau tidak berpencen segera berdaftar terutama mereka yang menamatkan perkhidmatan sebelum tahun 2000.

Dalam pada itu, JHEV memperuntukan sebanyak RM238 juta kepada veteran tentera untuk kebajikan pesara tentera membabitkan tujuh elemen antaranya bantuan bencana alam, baik pulih rumah, pendidikan, kesihatan dan pengurusan jenazah.

Sehingga akhir Oktober, sebanyak RM178 juta telah disalurkan kepada veteran tentera dan waris manakala baki kira-kira RM20 juta akan disalurkan sehingga akhir tahun ini.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM