SEPANG, 16 April- Seramai 384 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) bertugas memastikan keselamatan dan kelancaran aliran trafik sepanjang Lawatan Negara oleh Presiden China, Xi Jinping, ke Malaysia.
Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata sebanyak 17 laluan di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur, terbabit penutupan sementara bermula semalam sehingga Khamis selama 30 hingga 45 minit bagi memberi laluan kepada delegasi, sebelum dibuka semula kepada orang ramai.
"Saya harapkan pengguna jalan raya dan orang ramai memberikan kerjasama dalam memastikan kita mengambil tanggungjawab sebagai warganegara untuk memastikan lawatan Presiden China Xi Jinping berjalan dengan lancar.
"...tanpa ada gangguan keselamatan atau kesesakan jalan raya sepanjang tempoh lawatan tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau persiapan petugas JSPT menyambut ketibaan Presiden China.
Sehubungan itu, semua pengguna jalan raya dinasihatkan untuk merancang pergerakan serta mematuhi arahan petugas selain mengelak laluan terlibat sepanjang penutupan penuh dan lencongan jalan yang dilaksanakan.
Perkara itu bagi memastikan tugasan harian semua pengguna jalan raya dapat dilakukan dan dilaksanakan dengan sempurna.