fb fb fb fb fb

38 stesen minyak dikesan catat jualan luar biasa bagi diesel, RON95

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali/Foto FB KPDN

KUCHING, 21 September – Sebanyak 38 stesen minyak di seluruh negara, termasuk tujuh di Sabah dan tujuh lagi di Sarawak, dikesan merekodkan jualan minyak diesel dan RON95 pada kadar yang amat tinggi dan luar biasa.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata perkara itu dikenal pasti menerusi OPS TIRIS 3.0, dengan kebanyakan stesen beroperasi di kawasan sempadan negara.

"Kami mengesan stesen-stesen ini mencatatkan jualan yang luar biasa, dan tindakan susulan akan diambil bermula bulan depan bagi memastikan tiada ketirisan subsidi bahan api akibat penyelewengan atau penyeludupan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jelajah Karnival KPDN 2024 peringkat Sarawak di sini, pada Sabtu.

Datuk Armizan turut menegaskan bahawa pengusaha stesen minyak perlu bertanggungjawab dan tidak lepas tangan dalam hal ini.

"Kita tidak mahu pengusaha memberi alasan bahawa mereka hanya menjual minyak, tetapi tidak tahu kepada siapa. Mereka harus memberikan maklumat kepada kami, terutama jika ada kenderaan yang diubah suai untuk pembelian berulang," tegasnya.

KPDN juga bekerjasama dengan syarikat-syarikat minyak untuk memantau dan meneliti tren jualan di stesen yang mencatatkan jualan luar biasa.

"Kami telah meminta laporan tren jualan dari syarikat minyak bagi membantu mengesan sebarang aktiviti penyelewengan," tambahnya.

Sejak pelaksanaan OPS TIRIS 3.0 pada 1 Januari hingga 19 September, lebih 31,000 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh negara.

Ia melibatkan 2,121 kes dengan nilai rampasan mencecah RM81.4 juta.

Seramai 531 individu telah ditangkap berkaitan kes penyelewengan dan penyeludupan minyak diesel dan RON95.

GRACE AISYAH KEDAYAN