fb fb fb fb fb

36 peniaga kecil bimbang gerai jualan dirobohkan

Kon penghadang menjejaskan peniaga untuk meneruskan perniagaan di Medan Putra, Alor Setar

ALOR SETAR, 11 Disember- 36 peniaga kecil di Medan Putra, Alor Setar bimbang berikutan gerai tempat mereka mencari rezeki akan dirobohkan oleh pihak kontraktor.

Perkara itu bagi menjalankan kerja-kerja projek pembinaan jambatan baharu di Jalan Putra, Alor Setar yang sedang dijalankan.

Bagaimanapun Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menyediakan gerai yang baharu untuk berpindah, namun belum menyediakan kelengkapan elektrik.

Pengerusi Peniaga Medan Putra Parwez Ahmad Nesar Ahmad, 56, berkata, projek tersebut menyebabkan pendapatan mereka terjejas kerana kekurangan pelanggan sejak lapan bulan lalu.

"Kedai kami dihadang oleh kon-kon berikutan kerja-kerja dilakukan pihak kontraktor. Dianggarkan sehinga 90 peratus terjejas, hingga menyukarkan kami untuk membayar sewa. Semua peniaga turut terjejas.

"Ada kedai yang bankrap dan tidak beroperasi lagi dan pulang ke kawasan masing-masing. MBAS ada memaklumkan perkara ini namun tidak memberikan tarikh, ia menimbulkan kerunsingan kepada kami. Sekarang kami dalam kedadaan terdesak dan tertekan untuk mendapatkan sumber kewangan," katanya kepada pemberita di sini.

Pihak kontrator juga mula mencabut bumbung hadapan dan memecahkan dinding gerai.

MBAS turut menyediakan gerai sementara untuk berpindah, namun hanya 18 buah gerai disediakan tetapi tidak dilengkapkan bekalan elektrik.

18 gerai tambahan perlu disediakan MBAS bagi memastikan kesemua peniaga dapat menjalankan perniagaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI