fb fb fb fb fb

36 kes ketirisan diesel dalam tempoh 11 hari

(Datuk Seri Salahuddin berkata dalam sidang media selepas melancarkan
program inisiatif ‘Payung Rahmah Lotus’s Malaysia’ di ibu negara)

KUALA LUMPUR, 14 Mac- Sebanyak 36 kes ketirisan diesel bersubsidi dikesan membabitkan nilai rampasan lebih RM890,000 di seluruh negara sepanjang tempoh 11 hari Op Tiris dilaksanakan sejak 1 Mac lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata lebih 400,000 liter bahan bakar dirampas dalam 1,464 pemeriksaan.

"Jadi saya sangat yakin dengan keberkesanan dan komitmen kita akan dapat mengawal ketirisan ini lebih efisen pada masa akan datang.

"Kita kena ada bekerjasama dengan kementerian lain untuk keberkesanan," kata Salahuddin selepas melancarkan program inisiatif ‘Payung Rahmah Lotus’s Malaysia’ di ibu negara.

Menurut beliau, kementeriannya juga akan menyediakan satu laporan berkenaan hasil pelaksanaan Op Tiris dalam masa terdekat.

Menerusi Op Tiris, tahap penguatkuasaan yang lebih tegas akan ditingkatkan di semua peringkat kawasan dan lokaliti termasuk kawasan kepulauan, sempadan, perindustrian, eksport, bandar dan kawasan luar bandar.

Dua jawatankuasa pelaksanaan OPS TIRIS telah diwujudkan iaitu Jawatankuasa Pemandu yang menetapkan polisi dan Jawatankuasa Teknikal yang berperanan mengendalikan urusan pelaksanaan operasi.

(Datuk Seri Salahuddin berkata lebih 400,000 liter bahan bakar dirampas dalam 1,464
pemeriksaan)

Media Baharu