fb fb fb fb fb

34 lokasi panas kemalangan di Terengganu - Polis

Foto Fail

AJIL, 9 April- Polis Terengganu mengenal pasti 34 lokasi panas yang sering berlaku kemalangan di negeri itu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata ia merangkumi 30 laluan Persekutuan manakala bakinya jalan negeri.

Katanya, pemantauan dan rondaan akan dipertingkat di kawasan tersebut sepanjang Ops Selamat 22, selain rondaan di laluan lain.

Seramai 41 pegawai dan 454 anggota polis kontinjen Terengganu digerakkan sepanjang pelaksanaannya sempena Aidilfitri berakhir 13 April ini.

Selain mengurangkan kadar kemalangan, tumpuan turut diberi kepada pencegahan jenayah pecah rumah dan kelancaran trafik.

"Kita tempatkan kita ada cara macam mana kita nak membuat pemantauan secara bergilir-gilir.

"Kita juga ada 'checklist' dan sebagainya untuk kita memastikan kawasan itu dilakukan rondaan dan pemantauan secara berterusan," katanya kepada pemberita selepas Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Aidilfitri peringkat Terengganu di Plaza Tol Ajil, di sini.

Mengikut rekod, 129,000 kenderaan mula memasuki Terengganu sejak Jumaat lalu.

Mengulas lanjut, beliau menasihatkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung supaya memaklumkan kepada polis.

Tindakan itu perlu dibuat supaya pemantauan boleh dilakukan di kawasan kediaman mereka.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM