SHAH ALAM, 23 Ogos -Tiga lelaki maut manakala tiga lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam parit di Jalan Sultan Sulaiman Shah, Banting pada awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.56 pagi.
Menurutnya, seramai lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba sembilan minit kemudian.
"Terdapat enam mangsa tersepit dalam kereta dan telah berjaya dibawa keluar bermula 4.20 hingga 5.15 pagi.
"Tiga mangsa meninggal dunia manakala tiga lagi mengalami kecederaan antaranya di kepala, badan serta kaki. Kesemua mereka telah dibawa ke Hospital Banting untuk tindakan susulan," katanya.