fb fb fb fb fb

3,280 lokasi diaudit bagi ujian kualiti perkhidmatan 4G - KKD

Hasil audit sedang dianalisis dan akan menerima notis di bawah Seksyen 51(2), Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia [Akta 588]

KUALA LUMPUR, 5 Disember - Sebanyak 3,280 lokasi di seluruh negara telah diaudit bagi ujian kualiti perkhidmatan 4G.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata daripada jumlah itu sebanyak 97 lokasi melibatkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Beliau berkata, hasil audit berkenaan sedang dianalisis dan akan menerima notis di bawah Seksyen 51(2), Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia [Akta 588].

"Liputan perkhidmatan 4G di kawasan berpenduduk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada setakat suku ketiga tahun 2023 adalah 100%. Namun diakui masih terdapat kawasan yang mana kualiti perkhidmatan adalah kurang memuaskan, terutamanya bagi pengguna yang berada di dalam bangunan.

"Keadaan ini boleh disebabkan oleh faktor seperti kesesakan rangkaian di sesuatu tempat pada satu-satu masa dan penerimaan liputan yang kurang memuaskan disebabkan oleh halangan seperti bangunan tinggi," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Sivaraj Chandran di Dewan Negara berhubung langkah kementerian menyelesaikan masalah rangkaian kurang memuaskan di ibu negara.

Dalam pada itu, Fahmi berkata keputusan mengurangkan atau mengecualikan caj tambahan kepada pengguna yang ingin menaik taraf rangkaian kepada 5G merupakan isu komersial dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa memantau dari segi dasar.

"Saya difahamkan ada beberapa syarikat telekomunikasi (telco) seperti CelcomDigi yang telah menerima cadangan (kerajaan) untuk mengurangkan, menyahkan atau menyifarkan caj naik taraf ke 5G.

"Pada Khamis lepas (CelcomDigi) telah mengumumkan beberapa pakej baharu yang tiada caj tambahan berkenaan, kita ambil maklum dan ambil baik keputusan itu," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN