fb fb fb fb fb

Kajian khusus, tambah baik program Rakan Muda sedang dilaksana - KBS

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim

KUALA LUMPUR, 5 Disember - Kajian khusus serta penambahbaikan sedang dilaksana dan diteliti berhubung tahap penerimaan golongan belia terhadap pelaksanaan program Rakan Muda.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata kajian tersebut  telah dimulakan pada September lalu dan dijangka berlangsung selama 8 bulan, manakala hasil kajian akan dimuktamadkan menjelang pertengahan tahun 2024. 

Beliau berkata Sehingga 1 Disember tahun ini,  jumlah penyertaan golongan belia dalam program Rakan Muda mencecah 1,108,463 orang merangkumi  4,119 aktiviti.

Katanya, sejumlah RM5.7 juta telah dibelanjakan bagi melaksanakan program-program Rakan Muda di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak, menerusi Bahagian Pembangunan Rakan Muda.

"Manakala, salah satu lagi cabang gaya hidup iaitu Rakan Demokrasi di bawah Rakan  Muda pula membelanjakan sebanyak RM1,309,641 menerusi peruntukan Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (I-LEAD).

"Untuk tahun hadapan, 2024, kerajaan telah pun bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi pelaksanaan program Rakan Muda yang mana ini dapat memberi galakan dan juga meningkatkan lagi penyertaan serta penganjuran aktiviti di bawah Rakan Muda," katanya.

Menjawab soalan yang dikemukakan Senator Datuk John Ambrose, di Dewan Negara, di sini, Adam juga memaklumkan, selain pelaksanaan aktiviti, pihak kementerian turut menjalankan tinjauan dan penilaian secara langsung terhadap peserta program Rakan Muda dan hasil tinjauan telah mendapat maklum balas positif dalam kalangan belia yang terlibat.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN